Wednesday, June 06, 2012

myMetro | Festival Doraemon

DORAEMON antara ikon budaya Jepun yang paling popular dan menjadi pujaan peminat di seluruh dunia, baik kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Dicipta pada 1969, kucing robot comel dari zaman masa depan itu masih sangat diminati walaupun sudah lebih empat dekad berlalu.

Mengikut penciptanya, Doraemon dilahirkan pada 2112 tetapi menjelma pada zaman kini untuk membantu rakannya, Nobita menyelesaikan pelbagai masalah harian.

Ia turut mendapat pengiktirafan yang bukan calang-calang apabila digelar ‘hero paling comel’ di Asia oleh majalah antarabangsa berprestij, Time selain dinamakan sebagai Duta Animasi oleh Kementerian Luar Jepun.


Memandangkan kemunculan Doraemon sering membawa kegembiraan dan gelak tawa kepada kanak-kanak dan orang dewasa daripada segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia, pusat beli-belah e@Curve dengan kerjasama Animation International (M) Sdn Bhd menganjurkan Festival Doraemon sempena cuti sekolah mulai 25 Mei hingga 10 Jun ini.

Festival itu turut dianjurkan sempena memperingati 100 tahun sebelum kelahiran Doraemon dan ia menyediakan pelbagai program sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat untuk meraikan kanak-kanak daripada House of Joy.

Kemunculan Doraemon mengundang teriakan ‘Doraemon, Doraemon’ yang bergema di pusat beli-belah itu dilaungkan kanak-kanak yang seronok menanti kemunculan kucing biru tanpa telinga yang sekian lama menjadi ikon mereka. Ia dibawa khas dari Jepun ke Malaysia sempena cuti sekolah ini.

Festival bermula dengan sketsa lucu Doraemon dan Nobita, kemudian disusuli permainan dan tarian mengikut rentak lagu temanya yang termasyhur.

Pengurus e@Curve, Azizul Hisham Ahmad berkata, pihaknya sentiasa mencari cara baru untuk menjadikan kunjungan ke pusat beli-belah itu satu kenangan indah kepada semua pelanggannya.

Menurutnya, Doraemon adalah watak yang dikenali ramai dan kedatangan ikon kesayangan ramai itu ke Malaysia, mampu memberi peluang kepada generasi baru untuk menghargai karakter terkenal itu.

“Kami teruja dapat memperkenalkan watak ikon ini kepada kanak-kanak House of Joy dan membawa kegembiraan dalam hidup mereka,” katanya.

Selain aktiviti bersama Doraemon, kanak-kanak juga menerima beg hadiah berisi barangan karakter itu, menjamu selera di Manhattan Fish Market, selain dibawa ke CP Arcade untuk mencuba pelbagai permainan arked yang menyeronokkan.

Kanak-kanak itu kemudian menerima kejutan apabila mereka dibawa ke Cathay Cineplex untuk menonton tayangan khas Men in Black 3, sekuel filem terbaru yang mempunyai ramai peminat.

Festival Doraemon di e@Curve menyelitkan pelbagai aktiviti termasuk sesi ‘Bertemu Mesra’ dengan Doraemon dan Nobita yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad.


p/s : sumber daripada metro..so, sape2 yang nak tengok article yang ori..boleh la klik kt link yang berwarna biru...

sukanya...nk pergi jgak...anyone can take me....(@_@)

0 Comments:

Post a Comment



By :
Free Blog Templates